1. GUNUNG LAKI
Tahun: 1783
Negara: Iceland
Anggaran kematian: Lima juta
GUNUNG Laki yang terletak di selatan Iceland, meletup pada 8 Jun 1783 dan meluahkan kira-kira 49 tan atau 14 kilometer kubik lava basalt.
Pancutan lava dianggarkan mencapai ketinggian antara 800 hingga 1,400 meter manakala gas beracun mengandungi asid hidroflorik dan sulfur dioksida dilepaskan sehingga ketinggian 15 kilometer.
Letusan yang lebih dikenali sebagai Skaftareldar atau api Skafta di Iceland itu, berlanjutan sehingga 7 Februari 1784.
Impak letusan itu sangat dahsyat sehingga lebih 60 peratus ternakan dan sebahagian besar tanaman musnah.
Lebih 10,000 orang daripada 50,000 penduduk Iceland juga maut akibat penyakit dan kebuluran disebabkan kemusnahan sumber makanan.
Namun, jika diambil kira kematian di kawasan lain yang disebabkan penyakit berpunca daripada perubahan iklim akibat letusan Gunung Laki, angka kematian mungkin mencecah jutaan orang.
Misalnya, sejuta orang di Perancis dan lebih 20,000 di United Kingdom (UK) meninggal dunia dalam tempoh tersebut yang dipercayai berkait rapat dengan letusan Gunung Laki.
2. HUAYNAPUTINA
Tahun: 1600
Negara: Peru
Anggaran kematian:
Dua juta orang
HUAYNAPUTINA bermaksud “gunung berapi muda”. Gunung berapi itu terletak di selatan Peru. Gunung Huaynaputina adalah sebahagian Zon Pusat Gunung Berapi di Andes yang merentasi Peru dan Chile.
Pada 19 Februari 1600, berlaku letusan besar di Gunung Huaynaputina. Penduduk yang menyaksikan kejadian itu menggambarkan ia sebagai “satu letupan besar seperti bedilan meriam”.
Aliran piroklastik mengalir turun dari gunung berapi itu lalu bercampur dengan air sungai Rio Tambo dan membentuk lahar. Sejam selepas letupan, abu mula jatuh dari langit dan dalam tempoh 24 jam, bandar Arequipa diselubungi abu setebal 25 sentimeter.
Secara keseluruhannya, letupan gunung berapi tersebut membunuh lebih 1,500 orang dan memusnahkan 10 buah kampung.
Letusan itu memberikan kesan lebih terhadap iklim di Hemisfera Utara sehingga tahun 1601 menjadi tahun paling sejuk dalam tempoh 600 tahun.
Lebih dua juta penduduk Rusia dilaporkan terbunuh akibat kebuluran sepanjang musim sejuk melampau dari 1601 hingga 1603 yang dikaitkan dengan letupan Huaynaputina.
3. GUNUNG TAMBORA
Tahun: 1815
Negara: Indonesia
Anggaran kematian:
70,000 - 100,000 orang.
BERDASARKAN kajian yang dijalankan, Gunung Tambora yang terletak di Pulau Sumbawa, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pernah meletus sebanyak tiga kali sebelum letusan pada 1815. Ia dipercayai meletup pada tahun 3910 Sebelum Masihi (SM), 3050 SM dan tahun 150.
Letusan pada 5 April 1815 adalah letupan gunung berapi paling kuat dalam sejarah dunia. Ia disenaraikan antara 10 kejadian letusan gunung berapi paling mengerikan di dunia.
Mengikut Indeks Letusan Gunung Berapi (VEI), letusan Gunung Tambora mencatatkan kekuatan paling tinggi iaitu VEI 7. Letusan itu adalah satu-satunya yang mencatatkan VEI 7 selepas letupan Lake Taupo pada tahun 180. Nilai maksimum VEI adalah lapan.
Letusan Tambora yang disusuli tsunami mengorbankan sekurang-kurangnya 70,000 penduduk Pulau Sumbawa. Ada juga laporan yang mendakwa angka korban mencecah 100,000 orang dan sebanyak 35,000 buah rumah turut musnah dalam bencana itu.
Kesan daripada letupan itu, sebahagian negara di barat Eropah dan timur Amerika Utara mengalami musim sejuk yang melampau dari Jun hingga Ogos 1816.
4. KRAKATAU
Tahun: 1883
Negara: Indonesia
Anggaran kematian:
36,000 orang
GUNUNG Krakatau terletak di kepulauan vulkanik yang masih aktif di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera.
Pada 26 Ogos 1883, berlaku letusan besar di Gunung Krakatau. Letusan yang disusuli tsunami setinggi 36 meter itu sangat mengerikan sehingga mengorbankan lebih 36,000 orang.
Mengikut laporan, bunyi letupan gunung berapi itu didengari penduduk Alice Springs di Australia dan Pulau Rodrigues di Afrika yang terletak lebih 4,600 kilometer. Gegarannya dilaporkan dirasai di seluruh dunia.
Letusan gunung itu turut menyebabkan perubahan iklim global. Disebabkan debu gunung berapi yang menyelubungi atmosfera, dunia bergelap selama dua setengah hari dan cahaya matahari menjadi redup selama setahun.
Dari segi kekuatan, letupan Krakatau adalah 13,000 kali ganda lebih kuat berbanding letupan bom atom yang digugurkan di Hiroshima, Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Gunung Krakatau masih aktif dan kali terakhir meletus pada 4 Ogos 2009.
5. GUNUNG PELEE
Tahun: 1902
Negara: Martinique
(tanah jajahan Perancis)
Anggaran kematian:
30,000 orang
TERLETAK di Martinique di Antilles Kecil, kepulauan Caribbean Gunung Pelee kini sudah tidak aktif tetapi masih merekodkan aktiviti seismik.
Gunung tersebut terkenal kerana letupan pada 1902 yang dianggap sebagai bencana gunung berapi paling dahsyat pada abad ke-20.
Letusan tersebut membunuh lebih 30,000 orang, kebanyakannya adalah penduduk Saint Pierre. Aliran proklastik memusnahkan bandar terbesar di pulau tersebut pada masa itu.
Hanya dua orang yang berada di laluan aliran piroklastik itu terselamat selepas letusan pertama pada 8 Mei 1902. Louis-Auguste Cyparis terselamat kerana berada dalam penjara seperti kubu bawah tanah.
Leon Compere-Leandre pula terselamat kerana tinggal di pinggir bandar tetapi dia mengalami kecederaan teruk.
http://www.utusan.com.my/rencana/utama/5-gunung-berapi-paling-ganas-1.570298#ixzz5KeB4HEbc
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment