Berkhatan bagi lelaki Yahudi adalah wajib sebagaimana wajibnya lelaki ISLAM berkhatan. Sepertimana berkhatan cara ISLAM, berkhatan cara Yahudi juga membuang selaput kulit yang menutupi zakar sehingga terdedah kepala zakar.
Berkhatan bagi istilah Hebrew adalah Brit Milah. Perlu diketahui bahawa orang Yahudi terbahagi kepada beberapa loghat seperti loghatSephardi,loghat Ashkenazi dan loghat Yiddish. Dengan itu Brit Milah jika bagi loghat Sephardi akan disebut Berit Milah,loghat Ashkenazi akan disebut Bris Milah manakala loghat Yiddish hanya akan disebut Bris sahaja.
Apapun jenis loghatnya, upacara Brit Milah tetap sama. Upacara Brit Milah boleh dikatakan semeriah majlis berkhatan bagi rakyat Malaysia. Akan tetapi, majlis Brit Milah dipenuhi dengan adat-adat dan kepercayaan Yahudi.
Upacara Brit Milah
- Upacara Brit Milah akan dilakukan kepada bayi yang menjangkaui hari ke-8 kelahirannya. Upacara ini tersangat penting hinggakan jika hari ke-8 bayi tersebut jatuh kepada hari Sabbath atau perayaan Yom Kippur, upacara ini tetap akan berlangsung.
- Upacara Brit Milah dilakukan pada bila-bila masa pada hari ke-8 kelahiran mengikut kesesuaian masa ibubapa bayi tersebut. Namun, kelazimannya mereka akan mengadakan upacara ini pada awal pagi hari ke-8 kelahiran.
Tempat
- Upacara Brit Milah dilakukan di Synagogue. Namun, ia tidak memperuntukkan hanya Synagogue sahaja tempat upacara ini dilakukan. Upacara Brit Milah boleh dilakukan di Dewan mahupun di rumah ibubapa bayi itu sendiri.
Kvatter
- Semasa upacara ini berlangsung, seorang Kvatter akan membawa bayi ke dalam sebuah bilik khas. Kvatter adalah individu yang diberi penghormatan untuk membawa bayi daripada ibu bayi kepada bapa bayi tersebut sebelum bapa bayi itu membawanya kepada seorang Sandek.
- Tugas Kvatter akan diberi kepada pasangan yang sudah berkahwin tetapi masih belum mempunyai anak. Tujuannya adalah untuk menarik minat pasangan tersebut supaya turut mempunyai anak sendiri kelak.
Sandek
- Upacara Brit Milah akan berterusan lagi apabila bayi yang dibawa oleh bapanya akan diberi kepada seorang Sandek. Sandek adalah gelaran kepada seorang yang akan memangku bayi dengan lututnya.
- Sandek biasanya seorang yang paling dihormati dalam keluarga ibubapa tersebut. Lazimnya, ibubapa bayi akan melantik mana-mana ayah mereka(datuk bayi tersebut) sebagai Sandek.
- Sandek akan memangku bayi tersebut sehingga upacara Brit Milah(khatan) selesai dilakukan oleh seorang individu yang digelar Mohel.
- Akan terdapat dua buah kerusi disediakan bagi upacara ini. Kerusi pertama adalah untuk Sandek manakala kerusi kedua dikosongkan kerana orang Yahudi percaya kerusi itu akan diduduki oleh Prophet Elijah (nabi Ilias menurut kepercayaan Yahudi). Mereka percaya bahawa setiap upacara Brit Milah dilakukan, roh Prophet Elijah akan menjelma dan duduk di kerusi tersebut sebagai saksi Yahweh(Tuhan orang Yahudi).
- Bayi yang akan dikhatankan itu akan diletakkan di kerusi Elijah(Elijah’s chair) sebelum upacara Brit Milah dilakukan. Mohel akan membacakan doa-doa khas untuk memohon supaya roh Elijah tampil semasa upacara Brit Milah dilakukan olehnya.
- Individu paling penting dalam upacara Brit Milah adalah Mohel. Di Malaysia, Mohel boleh diumpamakan sebagai Tok Mudim. Semua mazhab Yahudi tidak melarang seorang wanita untuk menjadi seorang Mohel kecuali mazhab Yahudi Orthodox.
- Wanita yang menjadi Mohel digelar Mohelot. Untuk menjadi seorang Mohel atau Mohelot bukannya satu yang senang. Seorang Mohel atau Mohelot wajib mempunyai kelulusan yang diikhtiraf. Mohel atau Mohelot bukan sahaja wajib mengetahui ilmu-ilmu pembedahan tetapi juga wajib mengetahui adat-adat dan kepercayaan kaum Yahudi. Oleh sebab itu, kebanyakkan seorang Mohel adalah seorang Rabbi.
- Mohel daripada mazhab Yahudi Orthodox masih lagi mengamalkan penggunaan cara-cara tradisional dalam upacara Brit Milah. Umpamanya, mereka masih lagi menggunakan pisau berbanding penggunaan gunting dan penyangkut(clamp). Mereka percaya penggunaan gunting akan menyebabkan kulit akan dipotong secara berlebihan.
Pemberian Nama
- Selepas sahaja upacara Brit Milah selesai, upacara pemberian nama akan dilakukan. Nama yang diberikan mestilah nama Yahudi bayi tersebut. Pemberian nama dilakukan bagi mengikut tradisi turun-temurun sejak Prophet Abraham ditukar namanya daripada Avram atau Abram oleh Yahweh selepas selesai upacara Brit Milah.
Seudat Mitzvah
- Kemuncak kepada upacara Brit Milah adalahSeudat Mitzvah. Seudat Mitzvah adalah upacara kenduri sebaik sahaja upacara Brit Milah selesai. Makanan yang disediakan ketika Seudat Mitzvah mestilah kosher.